PERTAHANAN Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco gembira apabila dia berjaya membentuk gandingan yang mantap bersama Adrijan Rudovic meskipun pemain itu baru sahaja menyertai kelab pada musim ini.
Giancarlo atau mesra disapa GG menjelaskan sifat dan sikap yang ada pada Rudovic menyebabkan dia mudah didekati sekali gus dapat membentuk persefahaman yang cepat dan hasilnya KL City kini kurang dibolosi dalam tiga perlawanan terakhir.
“Adrijan hadir ke sini membawa karektor yang baik, rendah diri dan kami dapat bekerja sama dengan baik meskipun situasi di luar padang sedikit menggangu tetapi di dalam padang kami serasi dan dapat membentuk gandingan yang mantap.
“Kebolehan dia bermain di sebelah kiri membolehkan saya bermain di sebelah kanan yang mana ianya posisi kegemaran saya dan harap kami mampu bermain baik sepanjang musim ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
GG turut menyatakan dia tidak sabar untuk berhadapan Sri Pahang FC pada Sabtu kerana dia bakal bertemu Kpah Sherman yang padanya adalah seorang penyerang yang bagus dan sering memberikan kesukaran buat dirinya di dalam padang.
“Sri Pahang adalah pasukan yang bagus dan saya mahu meneruskan momentum kemenangan ini kerana ianya akan menjadi rekod permulaan terbaik dalam sejarah kelab. Beberapa kecederaan sedikit menggangu tetapi saya yakin mereka yang menggantikan akan berikan aksi terbaik.
“Saya menghormati Sherman dan kami sering mempunyai saingan yang baik apabila bertemu. Saya sukakan cabaran sebegini kerana pemain seperti dia sering berikan ujian terbaik untuk saya sebagai pertahanan,” jelasnya.

Pemain Australia itu juga mengakui kemenangan derbi ke atas Selangor memberikan semangat buat para pemain KL City selepas mereka dibelenggu masalah pembayaran gaji namun segala masalah itu selesai apabila mereka berada di dalam padang.
“Kemenangan derbi keatas Selangor berikan kami moral tambahan kerana ianya umpama memenangi piala dan kami perlukan semangat ini untuk dibawa ke perlawanan menentang Sri Pahang kerana hanya bola sepak yang berikan kegembiraan buat kami ketika ini,” katanya.
KL City kini ditangga kelima Liga Super dengan tujuh mata selepas empat perlawanan dan keputusan positif menentang Sri Pahang akan melonjakkan mereka ke kedudukan tiga teratas.