PASUKAN Liga A2 Amatuer, Real Mambau FC ingin menebus kekecewaan dalam perlawanan pertama dengan mengutip tiga mata dalam aksi seterusnya.
Pasukan amatur dari Negeri Sembilan itu tumpas kepada Jakim FC dengan keputusan 1-3 dalam aksi pertama Liga A2 Amateur hujung minggu lalu.
Pasukan yang dikendalikan oleh Al-Hasrizal Al Mustafi itu mahu bangkit dalam perlawanan kedua liga apabila akan menerima kunjungan daripada satu lagi pasukan yang berpangkalan di Negeri Sembilan, MPPD FC.
“Kami agak kecewa kerana tumpas dalam perlawanan sebelum ini. Untuk perlawanan seterusnya, kami terpaksa bermain tanpa kapten pasukan kami (Mohd Alif Yusof) yang telah dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari pemain JAKIM FC.
“Namun, saya masih percaya dengan kemampuan pemain-pemain yang saya ada sekarang ini. Sebanyak 90 peratus pemain saya merupakan pemain bawah 25 tahun.
“Antara pemain senior yang ada dalam pasukan ialah Mohd Alif Yusof yang pernah bermain bersama pasukan JDT II dan Kedah serta tiga bekas pemain SAINS FC iaitu Muhd Huzaimi Mokhtar, Muhd Ridhwan Dul Fakar dan Mohd Norazizi Mohd Khalid.
Saya percaya pemain-pemain ini mampu untuk membimbing pasukan untuk mendapatkan kemenangan kelak,” katanya.
Real Mambau FC bersama JAKIM FC, SAMB FC, MPPD FC, BR United dan SJ Virtuosos FC diletakkan dalam Zon 3 (Selatan) bagi saingan Liga A2 musim ini.
Perseteruan dua pasukan komuniti dari Negeri Sembilan itu akan berlangsung esok di Padang UiTM Seremban 3 pada pukul 4.45 petang.