PASUKAN Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-86 untuk mengesahkan tiga mata penuh apabila jaringan tunggal Alvin Fortes menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Terengganu dalam aksi Liga Super minggu ke-24 yang berlangsung di Stadium MBPJ, malam tadi.

Kembalinya saingan liga selepas lebih tiga minggu rehat disambut meriah dengan aksi sengit antara dua pasukan yang memiliki kekuatan seimbang. Selangor, yang diketuai Faisal Halim, memulakan perlawanan dengan penuh agresif apabila hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi tandukan Ronnie Fernandez, namun percubaannya terlalu lemah dan mudah diselamatkan Rahadiazli Rahalim.

Faisal sendiri nyaris mencatat nama selaku penjaring, tetapi tiang menjadi penghalang utama buat The Red Giants untuk mencipta kelebihan awal.

Jaringan tunggal Alvin Fortes cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat pasukan Selangor FC. (Sumber Gambar: MFL)

Terengganu pula tidak ketinggalan memberikan ancaman, dengan gandingan Ismaheel Akinade, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kerap mencetuskan keresahan di benteng pertahanan tuan rumah. Safawi hampir meledak gol pendahuluan pada penghujung separuh masa pertama namun sepakan kaki kirinya hanya menggegar tiang.

Separuh masa kedua menyaksikan corak permainan lebih terbuka, namun kedua-dua pasukan tetap gagal menembusi gawang lawan sehingga aksi menuju ke penghujung.

Ketumpulan serangan Selangor serta kekentalan pertahanan Terengganu menjadikan permainan lebih tegang, tetapi detik magis akhirnya muncul empat minit sebelum tamat perlawanan.

Alvin Fortes kini telah menjaringkan 9 gol dalam saingan Liga Super musim ini. (Sumber Gambar: Selangor FC)

Berpunca daripada hantaran lambung Faisal Halim, Alvin Fortes berjaya mengawal bola sebelum melakukan rembatan padu yang terus menerjah jaring untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Dengan kemenangan ini, Selangor terus mengukuhkan kedudukan mereka dan bakal meneruskan cabaran mereka menentang PDRM, juga di Stadium MBPJ, pada 19 April depan.