KETIADAAN Benjamin Mora yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih ternyata tidak menjejaskan semangat para pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta satu lagi kemenangan dalam Liga Super.

Kali ini Sarawak United pula menjadi mangsa apabila tewas 0-4 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching dengan sekali lagi penyerang duo JDT, Hazwan Bakri dan Bergson Da Silva menjaringkan gol.

Hazwan yang kembali diberikan kepercayaan untuk beraksi menjaringkan gol pembukaan dan juga gol kedua peribadi berturut-turut selepas bijak menerima hantaran Corbin Ong pada minit ke-14.

Bergson menambah derita anak buah S.Balachandran tujuh minit kemudiannya apabila meledak gol kedua JDT dan juga gol ke-14nya dalam Liga Super untuk Harimau Selatan selesa 2-0 pada babak pertama di hadapan lebih 5,500 penyokong yang hadir.

Pemain Sarawak United pula dilihat seakan-akan menyaksikan pemain JDT mengawal permainan dengan tiada serangan berbahaya dapat dilancarkan ke gawang yang dijaga Farizal Marlias.

Jorge Alvarez yang sekali lagi mengendalikan pasukan memasukkan Syahmi Safari yang membalasnya dengan jaringan cantik pada minit ke-79 untuk mematikan semangat melawan Sarawak United.

Fernando Forestieri melengkapkan malam gemilang JDT dengan gol keempat pada minit ke-90 menerusi penalti untuk jaringan kesepuluhnya dalam saingan liga.

JDT berjaya mengekalkan rekod kemenangan ke atas Sarawak United dalam tiga perlawanan musim ini, dua dalam Liga Super dan satu dalam Piala FA dengan menjaringkan 13 gol tanpa bolos.

Kemenangan ini mengekalkan JDT di tangga teratas dengan 32 mata manakala Sarawak United jatuh ke tangga ke-11 dengan 10 mata dari 13 perlawanan.