MANCHESTER City kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menundukkan Leicester City. Walau bagaimanapun, Pep Guardiola mengakui harapan pasukannya untuk merangkul gelaran juara musim ini sudah berkecai.

The Citizens berjaya mencatat kemenangan 2-0 dan membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi di Stadium King Power.

Kemenangan ini menamatkan kemarau kemenangan Man City dalam EPL. Sebelum ini, Erling Haaland dan rakan sepasukannya gagal memenangi sebarang perlawanan dalam empat aksi terakhir mereka di liga.

Dengan tambahan tiga mata ini, City kini naik ke tangga kelima carta EPL dengan 31 mata. Namun, mereka masih ketinggalan 14 mata di belakang Liverpool yang mengungguli kedudukan teratas.

Guardiola mengakui kemenangan ini dicapai dengan penuh kesukaran. Beliau turut menyatakan bahawa peluang pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan EPL sudah tiada lagi.

“Kami tidak dapat bertahan sepanjang 90 minit, dan hari ini kami menunjukkan perkara itu sekali lagi. Namun, kami berjaya menjernihkan fikiran kami dengan memperoleh hasil yang positif.

“Kami sangat jauh daripada merebut gelaran Liga Perdana Inggeris.

“Kami terima hakikat bahawa tiada lagi peluang untuk itu, tetapi masih ada perkara lain yang boleh diperjuangkan: Piala FA, empat tangga teratas… dan memenangi perlawanan seperti ini sangat membantu,” kata Guardiola kepada BBC.