TIDAK sampai sehari selepas Paulo Fonseca mengeluarkan kenyataan tentang pemecatannya, AC Milan akhirnya secara rasmi mengumumkan perpisahan dengan jurulatih berasal dari Portugal itu.

“AC Milan mengumumkan bahawa Paulo Fonseca telah dipecat daripada jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan utama lelaki. Kelab ingin mengucapkan terima kasih atas profesionalisme luar biasa Paulo dan mendoakan yang terbaik untuk masa depannya,” demikian kenyataan rasmi Rossoneri.

Sebelum ini, Fonseca mengesahkan pemecatannya selepas keputusan seri 1-1 menentang AS Roma di San Siro pada awal Isnin. Keputusan tersebut menyebabkan Milan terus berada di tangga kelapan carta Serie A dengan 27 mata daripada 17 perlawanan, ketinggalan lapan mata daripada empat tangga teratas.

Setakat ini, Milan hanya mencatat tujuh kemenangan dan mengalami empat kekalahan. Selain itu, pasukan ini juga masih belum mengesahkan tiket ke pusingan 16 pasukan terbaik mahupun Playoff Liga Juara-Juara Eropah kerana hanya berada di kedudukan ke-12 dengan 12 mata daripada enam perlawanan.

Keadaan ini memaksa pihak pengurusan Milan mengambil keputusan sukar untuk menamatkan perkhidmatan Fonseca, yang baru dilantik menggantikan Stefano Pioli pada musim panas lalu. Sepanjang 24 perlawanan bersama Milan, Fonseca mencatatkan 12 kemenangan, 6 keputusan seri, dan 6 kekalahan.

Pasukan itu menjaringkan keseluruhan 44 gol namun turut dibolosi sebanyak 27 kali. Dikatakan, kompatriot Fonseca, Sergio Conceicao, akan dilantik sebagai pengganti dengan kontrak sehingga akhir musim, bersama pilihan untuk melanjutkan setahun lagi.

Milan dijadualkan memulakan tahun 2025 dengan pertemuan menentang Juventus dalam perlawanan separuh akhir Piala Super Itali di Riyadh, Arab Saudi, pada 2 Januari.