JURGEN Klopp mengakui musim ini tidak bagus untuk Liverpool selepas disahkan gagal menamatkan saingan di empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL). Bagaimanapun, Klopp tetap optimis mengenai musim depan.
Liverpool menamatkan saingan di luar kelompok empat teratas selepas kemenangan Manchester United ke atas Chelsea. Dengan baki satu perlawanan, The Reds pasti akan menduduki tempat kelima.
Jurgen Klopp mengakui Liverpool kurang konsisten. Bagaimanapun, Klopp percaya Liverpool mempunyai masa depan yang baik.
Berita baik, Klopp mengesahkan bintang sensasi Mesir, Mohamed Salah gembira bermain di bawah kendaliannya dan terus kekal di Anfield walaupun kelab itu gagal beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
😂 Jurgen Klopp discovers the phrase "booby prize" pic.twitter.com/HJVIFxGN8k
— This Is Anfield (@thisisanfield) May 26, 2023
“Sudah jelas tidak akan menjadi musim yang baik. Kami tidak gembira. Kami melakukan kesilapan, kami tidak cukup konsisten.
“Jumlah mata yang kami kumpul sejak Piala Dunia agak banyak dan jika kami melakukannya sepanjang musim kami akan berada di kedudukan yang berbeza.
“Sudah tentu ada sebab untuk optimis. Kami mempunyai sebab lain untuk optimis, suasana yang dicipta orang kami selepas perlawanan terakhir di tempat sendiri. Semua perkara ini pastinya asas untuk masa depan yang hebat.
“Kami tidak perlu mempersoalkannya. Ini musim bola sepak. Kami tidak berjaya memberikan apa yang orang mahu dan harapkan. Tetapi kami masih bersatu dan itu sesuatu yang positif.
“Jika anda boleh mengharungi detik sukar seperti yang kami lalui maka itu adalah asas yang bagus untuk masa depan yang lebih baik. Saya mempunyai banyak sebab untuk optimis,” kata Klopp seperti dilaporkan Sky Sports.
Liverpool tidak konsisten dalam EPL musim ini. Walaupun mereka memecut sejak kebelakangan ini, beberapa siri keputusan positif dalam beberapa perlawanan terakhir masih belum mencukupi untuk membawa Liverpool ke empat teratas.