Terengganu FC terus memperkukuhkan skuad bagi menghadapi Liga Malaysia 2026/2027 apabila mengesahkan kepulangan pemain tengah antarabangsa Bahrain, Habib Haroon.

Pengumuman itu dibuat menerusi saluran media sosial rasmi kelab, dengan pemain berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak selama semusim selepas mengharungi kempen lalu bersama Kelantan The Real Warriors FC.

Kepulangan Habib menyaksikan beliau kembali menyarung jersi Sang Penyu selepas dua musim meninggalkan kelab tersebut, sekali gus memperkukuhkan lagi bahagian tengah pasukan menjelang musim baharu.

Pemain kelahiran Bahrain itu juga bakal bekerjasama semula dengan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, buat kali ketiga selepas pernah berada di bawah bimbingan pengendali berkenaan ketika bersama Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.

Kehadiran Habib dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Akram Mahinan dan pemain import Tajikistan, Ehson Panjshanbe, yang merupakan antara pemain yang meninggalkan Terengganu sebaik berakhir musim lalu.

Dalam masa sama, Terengganu turut mengumumkan seorang lagi muka baharu apabila bekas pemain Star City FC, Elvis Kamsoba, sah menyertai skuad Pantai Timur itu.

Habib dan Kamsoba melengkapkan senarai rekrut baharu Terengganu yang sebelum ini diperkuatkan dengan kehadiran Haqimi Azim Rosli, Manuel Ott, Haziq Kutty Abba dan Danial Amier Norhisham.

Dengan beberapa muka baharu dibawa masuk, Terengganu dilihat serius memperkukuhkan skuad kendalian Nafuzi bagi menghadapi saingan Liga Super 2026/2027 serta memburu pencapaian lebih baik berbanding musim lalu.