Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran meraih lima pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 walaupun temasya kali ini berlangsung dengan jumlah acara yang lebih sedikit berbanding edisi sebelum ini.
Ketua Kontinjen (CDM) negara, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, sasaran itu ditetapkan selepas mengambil kira kemampuan atlet yang bakal membawa cabaran negara serta peluang yang ada dalam lapan sukan yang akan dipertandingkan.
Beliau mengakui ketiadaan beberapa acara tradisi seperti badminton dan gimnastik berirama menyebabkan Malaysia kehilangan peluang memburu empat pingat emas yang pernah diraih pada edisi Birmingham 2022.

Ketua Kontinjen (CDM) negara, Datuk Awalan Abdul Aziz
Bagaimanapun, beliau yakin kekurangan itu mampu ditampung oleh atlet dalam acara lain yang mempunyai potensi untuk menaiki podium.
“Kami menyasarkan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa. Walaupun beberapa acara yang menjadi penyumbang emas sebelum ini tidak dipertandingkan, kami percaya atlet dalam sukan lain mampu mengisi kekosongan itu.
“Kami sudah mengenal pasti atlet yang berpotensi menyumbang pingat, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada mana-mana individu kerana mereka semua mempunyai peluang untuk memberikan keputusan terbaik,” katanya.
Glasgow 2026 hanya mempertandingkan 10 jenis sukan, berbanding lebih 20 pada edisi terdahulu, sekali gus menyaksikan kontinjen negara menghantar 59 atlet berbanding 104 pada Birmingham empat tahun lalu.
Malaysia dijangka menyandarkan harapan kepada atlet dalam acara angkat berat, berbasikal, boling padang, judo, para powerlifting dan para olahraga untuk merealisasikan sasaran tersebut.