Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP
PENTAS final Piala Dunia 2026 bukan sekadar mempertemukan dua gergasi bola sepak dunia, Argentina dan Sepanyol, malah menghidupkan semula hubungan istimewa antara dua pengendali yang pernah berkongsi perjalanan sebagai guru dan anak murid.
Argentina memastikan tempat di final selepas menewaskan England 2-1, manakala Sepanyol melangkah bergaya dengan menyingkirkan Perancis 2-0 untuk mengesahkan pertemuan dua juara dunia dan Eropah itu.
Di sebalik perebutan trofi paling berprestij dalam bola sepak, perhatian turut terarah kepada Lionel Scaloni dan Luis de la Fuente yang mempunyai sejarah tersendiri dalam dunia kejurulatihan.
Sebelum mengemudi pasukan masing-masing ke pentas tertinggi dunia, Scaloni pernah mengikuti kursus kejurulatihan anjuran Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) di Las Rozas pada 2017, dengan De la Fuente antara tenaga pengajar yang membimbing bekas pertahanan Argentina itu.

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni. Kredit Gambar: ROBERTO SCHMIDT/AFP
Ketika itu, Scaloni baru mengakhiri karier sebagai pemain profesional dan sedang memulakan langkah pertama sebagai jurulatih, manakala De la Fuente sudah dikenali sebagai antara individu penting dalam pembangunan jurulatih dan pemain muda Sepanyol.
Hubungan baik antara kedua-duanya kekal utuh sehingga hari ini. Scaloni sebelum ini pernah mengakui banyak menerima tunjuk ajar daripada De la Fuente ketika mengikuti kursus berkenaan dan menyifatkan jurulatih Sepanyol itu sebagai individu yang banyak membantunya pada fasa awal kerjaya di bangku kejurulatihan.
Pengendali Sepanyol itu turut beberapa kali memberikan penghargaan kepada Scaloni yang berjaya membina reputasi sebagai antara jurulatih terbaik dunia dalam tempoh singkat.
Sejak mengambil alih Argentina, Scaloni menghadiahkan kejuaraan Copa America 2021 dan Piala Dunia 2022 kepada negaranya, manakala De la Fuente pula membawa Sepanyol muncul juara Euro 2024 serta mengembalikan status La Roja sebagai kuasa utama Eropah.
Scaloni juga mempunyai hubungan rapat dengan Sepanyol di luar padang. Isterinya, Elisa Montero, berasal dari negara itu, manakala keluarganya menetap di Mallorca, lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada kariernya sebagai pemain bersama Deportivo La Coruna, Racing Santander dan Mallorca.
Walaupun mengakui mempunyai pertalian istimewa dengan Sepanyol, segala hubungan persahabatan itu bakal diketepikan sebaik wisel permulaan ditiup apabila Scaloni dan De la Fuente memburu satu matlamat sama – menjulang trofi Piala Dunia 2026 buat negara masing-masing.