IMPIAN ribuan penyokong untuk melihat Lionel Messi secara dekat bertukar mimpi ngeri apabila acara penampilannya di Stadium Salt Lake, Kolkata bertukar kecoh susulan kehadiran singkat bintang Argentina itu yang berakhir lebih awal daripada jangkaan.
Menurut laporan BBC, Messi yang hadir dalam jelajah promosi ‘GOAT Tour’ hanya sempat berjalan mengelilingi padang sambil melambai kepada penyokong, namun pandangannya sering terlindung oleh kumpulan pegawai, selebriti dan tokoh kenamaan yang mengiringinya. Situasi itu mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong yang sanggup membayar sehingga 12,000 rupee (RM 534) demi menyaksikan kelibat idola mereka.
Keadaan menjadi tegang apabila Messi dibawa keluar oleh kawalan keselamatan selepas kira-kira 20 minit, sekali gus mencetuskan kekecohan apabila sebahagian penyokong bertindak meluru ke padang, merosakkan sepanduk serta membaling botol air dan kerusi plastik. Seorang penyokong meluahkan kekecewaan kepada agensi ANI dengan berkata, “Hanya pemimpin dan pelakon yang mengelilingi Messi. Kenapa kami dipanggil datang? Kami bayar 12,000 rupee tetapi tidak pun dapat melihat wajahnya.”

FOTO: REUTERS
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan mengumumkan siasatan rasmi. “Saya amat terganggu dan terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya sambil memohon maaf kepada Messi dan pencinta sukan, menurut kenyataan di platform X yang dipetik Reuters. Beliau menegaskan jawatankuasa siasatan akan dibentuk bagi “menetapkan tanggungjawab dan mencadangkan langkah untuk mengelakkan kejadian sama berulang.”
Jurucakap Messi pula menjelaskan bahawa pemain Inter Miami itu telah memenuhi tempoh kehadiran yang dipersetujui lebih awal. “Messi melaksanakan komitmen seperti yang dipersetujui,” katanya, sambil merujuk isu penganjuran kepada permohonan maaf Banerjee, lapor BBC. Seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa penganjur utama acara telah ditahan, selain siasatan turut dijalankan berkaitan kemungkinan pemulangan wang kepada pembeli tiket.
Kekecewaan penyokong turut dizahirkan kepada Press Trust of India (PTI), apabila seorang bapa berkata, “Saya bayar Rs 5,000 dan datang bersama anak saya untuk melihat Messi, bukan ahli politik.” Insiden ini menjadi titik hitam dalam jelajah Messi di India, meskipun kehadirannya sebelum itu disambut luar biasa dengan ribuan penyokong membanjiri jalanan Kolkata, sekali gus membuktikan betapa besarnya pengaruh ikon bola sepak dunia itu — dan betapa besarnya harapan penyokong yang akhirnya dikecewakan.