Haiti’s forward #20 Frantzdy Pierrot (R) celebrates with teammates and fans after scoring his team’s third goal during an international friendly football match between Haiti and New Zealand at Inter Miami CF Stadium in Fort Lauderdale, Florida on June 2, 2026. (Photo by CHANDAN KHANNA / AFP)
PASUKAN Haiti mempamerkan aksi meyakinkan menjelang saingan Piala Dunia 2026 apabila membenam New Zealand 4-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Chase, Florida, awal pagi tadi.
Kemenangan besar itu menjadi tonik terbaik buat skuad kendalian Sébastien Migné yang bakal membuat penampilan kedua dalam sejarah mereka di pentas Piala Dunia, selain meneruskan momentum positif menjelang aksi pembukaan kejohanan.
Perlawanan yang sedikit tertangguh akibat cuaca buruk bermula dengan cemerlang buat Haiti apabila Ruben Providence meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit ke-12. Providence mempamerkan kemahiran individu yang mengagumkan sebelum menewaskan penjaga gol New Zealand, Alex Paulsen untuk membuka tirai jaringan.
New Zealand hampir menyamakan kedudukan menerusi beberapa peluang terbaik yang dicipta Jesse Randall dan Chris Wood, namun penjaga gol Haiti, Johny Placide tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting bagi memastikan pasukannya mengekalkan kelebihan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Haiti terus meningkatkan tekanan dan berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain gantian, Lenny Joseph pada minit ke-47 hasil gerakan yang dimulakan oleh Frantzdy Pierrot.
Pasukan Caribbean itu tidak menoleh ke belakang selepas itu apabila Pierrot sendiri meledak gol ketiga menerusi tandukan pada minit ke-61 selepas menerima hantaran silang Carleans Arcus.
Kemenangan Haiti kemudian disempurnakan oleh Duke Lacroix yang menyudahkan hantaran Jean-Ricner Bellegarde untuk jaringan keempat, sekali gus menutup malam cemerlang skuad The Grenadiers.
Selain ketajaman di bahagian serangan, Haiti turut berjaya mengekalkan gawang tanpa bolos buat kali kedua dalam tiga perlawanan terakhir mereka, satu petanda positif menjelang cabaran dalam Kumpulan C Piala Dunia yang turut dibarisi Brazil, Maghribi dan Scotland.
Bagi New Zealand pula, kekalahan itu menimbulkan kebimbangan menjelang kempen Kumpulan G yang menyaksikan mereka bakal berdepan Belgium, Mesir dan Iran. Ia juga merupakan kekalahan kelapan mereka dalam 10 perlawanan antarabangsa terakhir.