PEMAIN beregu campuran utama negara, Toh Ee Wei berjanji akan kembali lebih kuat selepas disahkan mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri yang memaksanya berehat daripada saingan kompetitif buat sementara waktu.
Menerusi hantaran di Instagram, pemain berusia 25 tahun itu menzahirkan penghargaan kepada semua penyokong yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat selepas berita kecederaannya diumumkan oleh Persatuan Badminton Malaysia.
“Saya sudah menerima dan membaca semua mesej serta sokongan yang diberikan. Terima kasih banyak-banyak, ia benar-benar sangat bermakna buat saya,” katanya.
Ee Wei berkata keadaannya semakin baik dan sudah mampu berjalan perlahan-lahan selepas mengalami kecederaan ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura minggu lalu bersama pasangannya, Chen Tang Jie.
“Saya kini sudah boleh berjalan perlahan-lahan dan semua orang sudah tahu bahawa saya mengalami kecederaan ACL. Beri saya sedikit masa untuk berehat, fokus kepada proses pemulihan dan mencari jalan terbaik untuk kembali semula,” katanya.
Akibat kecederaan itu, pasangan ranking keempat dunia berkenaan turut menarik diri daripada Terbuka Indonesia, namun Ee Wei bertekad melakukan segala yang termampu untuk pulih dan kembali beraksi secepat mungkin.