PENDATANG baru ke saingan Liga Super, Imigresen FC tekad untuk bukan saja memberi cabaran namun, mencatat kemenangan ke atas skuad Kuala Lumpur (KL) City dalam aksi sulung kelab itu di saingan tertinggi bola sepak tempatan yang bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada petang Sabtu.
Biarpun status mereka sebagai muka baharu dalam Liga Super, pengendali pasukan, Yusri Che Lah melontarkan keyakinan tinggi terhadap barisan pemain kendaliannya yang dibentuk agak lewat tetapi tetap bersedia untuk memberi saingan sengit, termasuk mencatat kemenangan dalam perlawanan pertama ini.
“Setiap pasukan pasti mahu memulakan aksi pertama dengan positif dan begitu juga saya. Saya yakin dengan pemain saya dan mereka juga menunjukkan keinginan tinggi untuk mencapai sesuatu musim ini ketika sesi latihan.
“Ia bukan mudah kerana KL City berwajah baru musim ini dan di atas kertas mereka berupaya menjadi pencabar untuk tiga atau mungkin dua tempat teratas dalam saingan liga musim ini. Saya hormati mereka namun, saya juga percaya dengan kemampuan pasukannya menjelmakan aksi terbaik pada hari perlawanan,” kata Yusri ketika di hubungi Flash Sukan.

Yusri Che Lah : foto | IFC
Imigresen FC juga tidak boleh dipandang rendah apabila mereka diperkuatkan dengan kehadiran beberapa bekas pemain berpengalaman dari Kedah Darul Aman FC seperti Rizal Ghazali, Halim Saari, Fayadh Zulkifli dan Fazrul Danel, yang dijangka menjadi tonggak penting kepada kekuatan pasukan.
Bagi Yusri yang mempunyai pengalaman mengendalikan beberapa pasukan seperti Perak dan Kelantan FC sebelum ini, sasarannya buat pasukan adalah untuk menamatkan saingan liga musim ini di kelompok pertengahan.
“Liga kali ini panjang dan mencabar, kerana ia hanya akan tamat pada Mei tahun depan. Jika saya terus diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan hingga ke akhir musim, saya mahu kami berada di kedudukan pertengahan liga,” tambah Yusri lagi.
Yusri turut menegaskan bahawa beliau tidak mahu pasukannya berada di kelompok tercorotkerana ia bakal menyukarkan misi megukuhkan kedudukan di Liga Super. Justeru, kemenangan dalam aksi pertama ini amat penting sebagai batu loncatan untuk membina keyakinan dan momentum sepanjang musim.