BIARPUN tidak tersenarai ke Kejohanan Dunia 2025, semangat juang Justin Hoh terus membara selepas disenarai menyertai skuad perseorangan negara menjalani latihan intensif di Denmark.

Pemain berusia 21 tahun itu mengakui teruja dapat bergelar rakan sepelatih buat Leong Jun Hao dan K Letshanaa sebagai persiapan menghadapi kejohanan dunia di Paris hujung bulan ini.

“Sudah tentu saya gembira untuk berlatih di sana, lebih-lebih lagi saya pun nak belajar dengan mereka, terutamanya dari segi disiplin dalam dan luar gelanggang,” katanya penuh bersemangat,ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Justin melihat peluang berlatih di negara badminton gergasi itu sebagai platform untuk mengasah corak permainan serta membina karakter lebih matang dalam permainannya.

Walaupun sekadar ‘sparring partner’, kehadiran Justin di bawah pemantauan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Kenneth Jonassen tetap dianggap penting dalam program persediaan negara.

“Saya anggap ini pengalaman berharga… lepas Denmark, saya akan sertai beberapa kejohanan lain dan harapnya saya dapat tampil lebih baik dari sebelum ini,” ujar naib juara Terbuka Macau itu.

Biarpun tiket ke Paris bukan miliknya, kehadiran Justin ke Eropah tetap bernilai tinggi, ibarat pemain simpanan yang bakal mencipta impak luar biasa apabila tiba gilirannya kelak.