SELANGOR melihat acara sukan sebagai salah satu platform terbaik untuk mempromosikan negeri itu dan akan memperkasakan pelancongan suka sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang ditemui ketika melakukan lawatan di reruai Tourism Selangor ketika Grand Prix MotoGP Malaysia 2024 mahu negeri itu bergiat lebih agresif dalam pelbagai acara sukan yang dilangsungkan di Selangor.
Amirudin turut menyatakan Negeri Selangor memperolehi perolehan pendapatan yang tinggi menerusi acara sukan terutama sukan permotoran yang sudah berlangsung di Selangor sejak 1991 kecuali tahun 1998.
“Pelancongan sukan adalah sesuatu yang popular di Selangor seperti acara larian, berbasikal dan permotoran yang sudah biasa diadakan dan semua ini akan dimasukkan ke dalam kalendar acara Tahun Melawat Selangor.
“Kita juga melihat peningkatan dalam penglibatan sukan ‘paddle’ dan ‘pickleball’ terutama di kawasan bandar dan ianya akan menjadi pertimbangan kita untuk dimasukkan pada masa akan datang dan inilah yang menarik di Selangor kerana kita mempunyai segalanya.
“Perkara ini boleh dianggap sebagai nilai tambah buat pelancong ke negeri Selangor kerana mereka bukan sahaja hadir untuk menghadiri sesuatu acara tetapi juga boleh melancong mengikut kegemaran masing-masing,” katanya.
Amirudin juga gembira dengan sambutan menggalakkan terhadap acara MotoGP dengan 40 peratus daripada pengunjung adalah dari luar Selangor dan ianya memberikan impak kewangan yang baik buat negeri.
“Jika dilihat, acara MotoGP selama tiga hari ini berjaya menarik hampir 200,000 pengunjung dengan majoriti darinya adalah dari luar Selangor dan ini pastinya memberikan banyak perkara baik buat negeri ini dan ianya sesuai dijadikan model untuk menggalakkan kehadiran pelancong ke Selangor,” jelasnya.