DUNIA bola sepak dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila penyerang Liverpool dan Portugal, Diogo Jota, disahkan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol pada usia 28 tahun.

Menurut laporan media Portugal, Jota yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan cinta hatinya, Rute Cardoso dua minggu lalu, terbabit dalam nahas bersama adiknya, André, yang juga merupakan pemain bola sepak berusia 26 tahun.

Insiden menyedihkan itu berlaku di Kilometer 65 Lebuhraya A-52, di wilayah Zamora, Sepanyol. Menurut kenyataan daripada perkhidmatan kecemasan Castilla y León, pihak mereka menerima beberapa panggilan kecemasan melaporkan sebuah kenderaan terlibat dalam kemalangan dan terbakar.

Pasukan polis trafik Zamora, bomba wilayah serta Unit Kecemasan Perubatan (UME) dan petugas dari Pusat Kesihatan Mombuey dikejarkan ke lokasi kejadian, namun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jota, yang dikenali dengan larian pantas, penyudah tajam dan semangat juang tinggi di padang, bukan sahaja meninggalkan legasi besar bersama Liverpool, malah turut menjadi tonggak utama skuad kebangsaan Portugal sejak beberapa tahun lalu.

Pemergiannya bukan sahaja dirasai di Anfield, tetapi juga oleh seluruh komuniti bola sepak antarabangsa yang amat mengagumi dedikasi serta profesionalisme beliau sebagai seorang atlet.

Tragedi ini sekali lagi mengingatkan dunia bahawa walau sehebat mana seseorang di padang, hakikatnya kehidupan amat rapuh di luar garisan putih itu. Takziah buat keluarga, rakan sepasukan dan peminat Diogo Jota di seluruh dunia.