PROGRAM berbasikal Taiping 150 Ride, yang pertama kali dianjurkan semalam, mencuri tumpuan apabila berjaya menarik lebih 1,700 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Acara yang bermula dan berakhir di Dataran Warisan Taiping itu bukan sekadar perlumbaan, tetapi juga simbol perpaduan dan penghargaan terhadap warisan Taiping yang kini menyambut ulang tahunnya ke-150.

Penyertaan yang diperoleh bukan sahaja menggalakkan malah disifatkan berjaya dalam misi memperkenal Taiping sebagai destinasi pelancongan.

Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh ketika merasmikan pelepasan peserta berkata, kini Taiping bukan sahaja destinasi pelancongan malah tumpuan aktiviti sukan berbasikal.

“Ini bukan hanya mengenai kayuhan, tetapi cara kita meraikan sejarah Taiping sambil mempromosikan gaya hidup sihat dan hubungan komuniti. Taiping kini menjadi tumpuan peminat sukan ini,” katanya.

Program terbabit menawarkan tiga kategori utama iaitu 90km dan 60km bagi kayuhan kompetitif, serta kayuhan santai 20km yang terbuka kepada keluarga dan pelumba baharu.

Laluan kayuhan merangkumi kawasan luar bandar Perak seperti Sepetang dan Kubu Gajah, memberi peluang kepada peserta menikmati panorama indah sambil menguji keupayaan fizikal mereka.

Peserta lebih santai pula melalui kawasan ikonik seperti Taman Tasik Taiping, dengan suasana harmoni yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga.

Menariknya, pelajar sekolah berusia 7 hingga 17 tahun diberi peluang menyertai secara percuma hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Ini bertujuan memperkenalkan sukan berbasikal kepada generasi muda.

“Saya seronok dapat ikut kayuhan ini bersama ayah. Laluan di tasik memang cantik!” kata Nur Izzah, 10, dari Kuala Kangsar.

Lebih menari, program ini mendapat sokongan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila mennyediakan koc basikal ekspres bagi membolehkan peserta membawa basikal mereka dengan mudah.

Selain kayuhan, pelbagai aktiviti seperti trak makanan, persembahan muzik, dan cabutan bertuah menambahkan lagi kemeriahan acara.

Dengan penajaan daripada syarikat terkemuka seperti Alliance Bank dan sokongan agensi kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Taiping serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), acara ini melakar sejarah sebagai salah satu program pelancongan sukan yang berjaya di Perak.

Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang setiap kategori, sekali gus menutup tirai sambutan yang mengukuhkan lagi kedudukan Taiping sebagai lokasi pelancongan yang wajib dikunjungi.