MAJLIS Sukan Negara (MSN) menafikan kontinjen Paralimpik Negara ke Paris sebagai tersasar jauh dari sasaran yang ditetapkan, selepas membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, meskipun gagal menepati sasaran empat pingat emas yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), pencapaian di Temasya Paris patut dibanggakan.

“Kenyataan jauh tersasar tidak kena… Para Tokyo hingga sekarang, bilangan pingatnya tetap sama, 5 cuma sasaran awal oleh MPM (4 emas) yang kita sambut baik, kita akui ketidakjayaan (gagal) tetapi mereka yang disasarkan emas itu tetap meraih pingat perak.

Abdul Rashid ditemui media sebaik sahaja tiba dari Paris

“Bagi kita (pingat) perak itu tinggi dan mereka (atlet) sudah cuba mendapatkan emas.

“Cuma pada saat-saat akhir, emas gugur ke tangan negara lain melalui lompatan terakhir dan balingan kedua dan ketiga terakhir. Dalam sukan ada menang dan kalah.

“Why don’t be a good looser, kenapa nak terlalu sedih dengan kekurangan ini kerana kita tetap memperoleh du emas,” kata Abdul Rashid, ketika tiba bersama kontinjen para negara dari Paris.

Menurutnya, seramai 18 daripada 30  atlet para kali ini terdiri daripada mereka yang kali pertama layak ke Sukan Paralimpik iaitu 60 peratus, bermakna lebih dari separuh atlet negara yang bertanding di Paris.

Beliau turut menyuarakan keyakinan, bahawa kontinjen para negara mempunyai masa depan yang lebih baik pada temasya akan datang.

Hannah Yeoh (tiga kanan) turut hadir menyambut ketibaan atlt-atlet Paralimpik

Terdahulu, kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 menerima sambutan wira sebaik tiba di tanah air, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketibaan atlet para negara disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Setiuasaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Nagulendran Kangayatkarasu.

Turut hadir ahli keluarga atlet selain kira-kira 200 orang peminat sukan tempatan yang sudah menunggu sejak jam 8 malam.

Atlet dan pegawai kontinjen para negara menaiki penerbangan Oman Air WY823 yang selamat mendarat pada jam 8.10 malam.

Sejurus keluar dari Balai Ketibaan, Hannah turut menyampaikan plak cenderahati kepada semua 30 atlet yang menggalas cabaran negara di Paralimpik Paris yang melabuhkan tirainya, Isnin lalu.