Mohamed Salah mengakui Liverpool F.C. kini kembali berada di “tempat sepatutnya” selepas mengharungi penampilan terakhirnya bersama kelab itu pada aksi penutup Premier League musim ini.

Penyerang Mesir berusia 33 tahun itu menutup tirai kariernya di Anfield selepas Liverpool seri 1-1 menentang Brentford F.C. dalam aksi yang penuh emosi buat penyokong tuan rumah.

Turut mengucapkan selamat tinggal ialah pertahanan Scotland, Andy Robertson yang menyertai Liverpool pada tahun 2017 dan menjadi antara tonggak utama era kebangkitan kelab tersebut.

Sepanjang sembilan musim bersama The Reds, Salah meledak 257 gol untuk muncul penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah Liverpool di belakang legenda kelab, Ian Rush dan Roger Hunt.

Selain muncul antara pemain paling berpengaruh di Anfield, Salah turut membantu Liverpool memenangi pelbagai trofi utama termasuk UEFA Champions League dan dua gelaran EPL.

Menurut Salah, hubungannya bersama Robertson menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang berada di Liverpool.

Beliau mengakui sukar mengawal emosi selepas tamat perlawanan terakhir bersama rakan sepasukannya itu sambil menyifatkan mereka membesar bersama sepanjang tempoh di Anfield.

Robertson pula menyifatkan Liverpool sebagai sebahagian besar dalam hidup mereka dan percaya kedua-duanya akan sentiasa dialu-alukan kembali ke kelab itu pada masa hadapan.

Pemergian Salah sebenarnya sudah diumumkan sejak Mac lalu selepas hubungan antara beliau dan pengurus baharu Liverpool, Arne Slot dilaporkan semakin renggang sejak penghujung tahun lalu.

Walaupun begitu, nama Salah dan Robertson tetap diraikan penyokong Liverpool dengan sorakan gemuruh selain sepanduk khas sebagai penghargaan terhadap jasa mereka kepada kelab.

Slot turut memuji tindakan penyokong yang menurutnya sentiasa tahu bagaimana mahu menjadikan detik istimewa seperti itu lebih bermakna.

Salah menamatkan musim lalu sebagai penjaring terbanyak EPL dengan 29 gol ketika Liverpool menjuarai liga, namun prestasinya sedikit menurun musim ini apabila hanya menjaringkan tujuh gol dalam saingan liga.

Keputusan seri menentang Brentford sudah memadai buat Liverpool untuk menamatkan musim di tangga kelima dan mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Salah dalam masa sama mengakui sukar untuk meninggalkan Liverpool, namun beliau berbangga dengan segala pencapaian yang diraih bersama kelab itu dan berharap The Reds terus kekal bersaing merebut trofi pada masa hadapan.