PENGENDALI interim Sabah FC, Alto Linus gembira dengan pemain-pemainnya yang bersikap profesional dalam perlawanan pertamanya sebagai jurulatih selepas membenam PT Athletic 3-0 untuk kemenangan aggregat 7-0 untuk aksi Pusingan 16 Piala Malaysia.

Alto turut mengakui dia kini boleh tidur lena selepas melepasi ujian sulung dan kini fokusnya akan ditumpukan kepada baki perlawanan Liga Super serta menanti lawan di suku akhir Piala Malaysia sama ada Penang FC ataupun Kuching City FC.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi pemain meskipun kehilangan khidmat ketua jurulatih tetapi pemain bersikap profesional baik dalam latihan mahupun perlawanan.

Alto Linus akui boleh tidur lena selepas lulus ujian sulungnya

“Sudah tentu ianya tekanan buat saya kerana bukan mudah menggantikan Datuk Ong Kim Swee tetapi apa yang diajar olehnya sangat membantu dan saya harus kekalkan apa yang telah dilakukan dan tidak perlu membuat cara yang berbeza kerana itulah apa yang kami lakukan semasa latihan.

“Saya gementar pada awalnya tetapi saya gembira dan puas hati dengan persembahan pemain yang profesional dan kini kami akan bersedia untuk berjumpa siapa pun di suku akhir,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Jurulatih berusia 38 tahun itu juga melihat Sabah FC mempunyai peluang untuk layak ke final musim ini namun dia mahu mengambil pendekatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan untuk memastikan pemain kekal fokus dalam aksi mereka.

Sabah berjaya menempah tempat ke pusingan suku akhir Piala Malaysia

“Kalau tengok laluan kita, Sabah mempunyai peluang layak ke final dan itu adalah sasaran semua dari pengurusan dan pemain tetapi kita perlu fokus pada setiap perlawanan,” jelasnya.

Satu gol masing-masing dari penalti Darren Lok, Stuart Wilkin dan Joao Pedro cukup untuk memberikan Sabah kemenangan dan menjadi pasukan pertama menempah tempat ke pusingan suku akhir.