PENGURUS bola sepak negara England, Thomas Tuchel menegaskan beliau tidak berasa terbeban dengan sejarah hitam 60 tahun negara itu yang gagal melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia menjelang aksi separuh akhir esok.

Kali terakhir The Three Lions berjaya menjejakkan kaki ke pentas final kejohanan berprestij ini adalah ketika mereka muncul juara pada edisi 1966.

“Kami merasai ketegangan itu dan saya sendiri akan gementar, dan itu adalah perkara biasa tetapi saya tidak merasakannya sebagai satu bebanan,” kata Tuchel dalam sidang media.

Beliau menjangkakan perlawanan separuh akhir ini akan menjadi sengit, penuh emosi dan akan berlaku banyak peralihan momentum.

“Apa yang amat saya sukai ialah apa yang saya rasakan sejak beberapa hari kebelakangan ini, iaitu para pemain sangat, sangat kompetitif.

“Mereka sangat teruja dan, seperti yang saya katakan, mereka ‘lapar’ untuk beraksi dalam perlawanan ini,” tambah Tuchel.

Dalam pada itu, Tuchel turut menyatakan bahawa telah mereka menemui corak permainan pihak lawan, namun beliau sedar bahawa sekiranya mereka berjaya menyekat corak tersebut, Messi tetap akan menemui atau mencipta cara baharu.

England bakal turun dengan skuad yang hampir penuh selepas pemain tengah, Declan Rice, disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan sedia disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Perlawanan antara England dan Argentina sentiasa dipenuhi dengan kontroversi dan detik ikonik dalam sejarah bola sepak dunia seperti insiden gol ‘Hand of God’ oleh Diego Maradona pada tahun 1986 dan kad merah David Beckham pada 1998.

Pemenang dalam perlawanan ini akan bertemu juara Piala Dunia 2010, La Roja dalam pentas akhir Piala Dunia 2026 di Stadium New York New Jersey pada 20 Julai ini.

Kredit Gambar – Patricia De Melo Moreira / AFP