PASUKAN Johor Motorsports Racing (JMR) bakal mencipta sejarah apabila mengesahkan penyertaan sulung pasukan itu dalam perlumbaan ketahanan paling berprestij dunia, 24 Jam Le Mans, selain kembali bersaing di CrowdStrike 24 Jam Spa dan Suzuka 1000 musim ini.
Pengumuman tersebut hadir selepas JMR memulakan musim 2026 dengan cemerlang menerusi kejayaan menaiki podium pada perlumbaan Bathurst 12 Jam di Australia, Februari lalu.
Aksi di Le Mans bakal menjadi tumpuan utama apabila pasukan itu bekerjasama dengan TF Sport dan menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R bagi menghadapi perlumbaan ikonik yang berlangsung di Perancis minggu depan.
Pemilik dan pelumba JMR Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bakal membuat penampilan pertama di Le Mans bersama pelumba profesional Britain, Ben Green dan Lorcan Hanafin.
Perlumbaan yang dianggap antara paling mencabar dalam dunia sukan permotoran itu melibatkan 62 kereta daripada pelbagai kategori yang akan bersaing tanpa henti selama 24 jam di litar sepanjang 13.6 kilometer.
Selepas Le Mans, JMR akan meneruskan cabaran di Belgium menerusi perlumbaan CrowdStrike 24 Jam Spa. Pasukan itu sebelum ini berjaya menamatkan perlumbaan berkenaan pada edisi 2025 dan kini menyasarkan keputusan lebih baik termasuk peluang menaiki podium dalam kategori GT3.
Bagi saingan di Spa, Tunku Abdul Rahman akan bergandingan bersama Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Ibrahim, Ben Green dan pelumba Australia, Jordan Love.
Musim penuh cabaran itu akan diakhiri dengan penyertaan JMR di Suzuka 1000 pada September nanti. Pasukan tersebut hadir dengan keyakinan tinggi selepas meraih dua keputusan podium dalam kategori Pro dan Pro-Am pada edisi tahun lalu.
Tunku Abdul Rahman mengakui penyertaan di Le Mans merupakan impian yang diidamkannya sejak mula menceburi dunia perlumbaan pada 2019.
“Berlumba di Le Mans adalah antara sasaran terbesar saya sejak mula terlibat dalam sukan ini. Ia satu peluang istimewa dan saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran di salah satu litar paling ikonik di dunia,” katanya.
Beliau turut percaya JMR kini berada di landasan tepat untuk terus berkembang di pentas antarabangsa dan memburu lebih banyak kejayaan dalam perlumbaan ketahanan bertaraf dunia.
Penyertaan dalam tiga perlumbaan berprestij itu sekali lagi membuktikan komitmen JMR untuk terus mengangkat nama Johor dan Malaysia dalam arena sukan permotoran antarabangsa.