SELEPAS bola sepak, Negeri Johor kini meluaskan kuasanya kepada sukan bola jaring pula apabila kini memiliki fasiliti canggih terbaharu, Kompleks Bola Jaring Che’ Puan Khaleeda Johor di Taman Suria, Johor Bahru.
Majlis perasmian kompleks bola jaring itu disempurnakan sendiri oleh YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Penaung DiRaja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor pada 14 November 2024.
Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia dan Johor, YB Alwiyah Talib mengakui pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sumber inspirasi kepada pihak persatuan untuk pergi lebih jauh dalam sukan bola jaring.
“Pihak persatuan berterima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor yang bukan sahaja sering memberi sokongan dan peruntukan, tetapi juga kebanyakan peralatan dalam kompleks ini adalah hasil tajaan daripada Baginda.
“Saya berharap agar sukan bola jaring menjadi lebih maju dan setiap negeri juga mungkin boleh mempunyai fasiliti sebegini untuk meningkatkan kualiti dan prestasi pasukan masing-masing serta seterusnya membawa hasil positif kepada skuad kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.
Kompleks Bola Jaring itu akan menjadi sebuah pusat latihan yang akan memfokuskan pengumpulan bakat-bakat baharu bola jaring Negeri Johor di bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia, Tracie Robinson.
“Kita akan mempunyai kalendar selama setahun dan boleh menjalankan latihan lebih intensif untuk menyediakan pelapis bagi pasukan Johor Jewels di setiap posisi. Kita juga akan bekerjasama dengan PLD dan MSSJ untuk mencari bakat-bakat baharu.
“Che Puan juga bertitah mahu melihat lebih ramai pemain-pemain Johor mewakili negara selepas ini,” jelasnya dalam majlis yang turut dihadiri pemain pasukan Johor Jewels yang muncul juara Netball Super League 2023.
Kompleks yang lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti ruang persalinan, kemudahan sukan bola jaring dan asrama pemain adalah cetusan idea Che’ Puan Mahkota Khaleeeda Johor sendiri yang mahu melihat pembangunan bola jaring di Johor dan Malaysia menjadi lebih lancar dan cemerlang.