SKUAD bola jaring kebangsaan akan membuka gelanggang dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 apabila berhadapan Brunei pada Sabtu di OCBC Arena, Singapura.

Malaysia yang juga jaguh sukan ini di peringkat Asia sudah pasti mahu menggunakan kejohanan yang juga pusingan kelayakan ke Piala Dunia ini untuk layak ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 yang akan diadakan di Afrika Selatan.

Kapten pasukan, Syafazliana Mohd Ali gembira dengan persiapan pasukan dan mahu memastikan skuad negara berjaya layak ke final sekaligus bertanding di Piala Dunia tahun hadapan.

Syafazliana Mohd Ali

Dia juga yakin dengan barisan pemain yang dipilih oleh Ketua Jurulatih, Lisa Ann Beehaq adalah yang terbaik untuk tahun ini berdasarkan persembahan yang telah ditunjukkan.

“Persiapan pasukan berjalan dengan lancar dan sudah pun bermula sejak Mac lalu dengan sesi latihan mingguan setiap bulan. Pada Ogos pula kami telah menjalani latihan pendedahan di Perth, Australia dan kini bersedia untuk menghadapi kejohanan ini.

“12 pemain yang terpilih ini adalah yang terbaik kali ini dan kami mensasarkan untuk layak ke final seterusnya layak ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 di Cape Town,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Keyakinan sama turut dikongsi oleh Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib yang juga mahukan skuad kebangsaan ini layak ke final dan mengharumkan nama negara di Piala Dunia nanti.

Alwiyah Talib

“Semestinya sebagai presiden persatuan saya mahukan yang terbaik daripada semua pemain untuk layak ke final dan mewakili negara ke Piala Dunia,” katanya yang juga bakal berada di Singapura dari 8 hingga 12 September ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Brunei dan Chinese Taipei dengan juara setiap kumpulan akan berentap pada pusingan kedua sebelum dua pasukan teratas layak ke final untuk menentukan siapa yang bergelar juara Asia.

Sri Lanka adalah juara bertahan diikuti Singapura di tempat kedua dan Malaysia, ketiga pada edisi 2018 yang turut diadakan di Singapura.