PENGURUS popular Eropah, Jose Mourinho sedia untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris musim hadapan selepas kecewa dengan sokongan kewangan yang diterima di Roma.
Ianya akan menjadi senario yang hebat jika pengendali asal Portugal itu kembali buat kali ketiga ke Chelsea kerana wakilnya mengesahkan dia sememangnya berminat untuk mengisi kekosongan di Stamford Bridge.
Namun dia mendapati peluang itu agak sukar selepas Chelsea menegaskan mereka akan setia kepada Graham Potter meskipun masih tidak mendapat keputusan yang diharapkan setakat ini.
Isteri dan anak-anak Mourinho masih tinggal di London dan ini membuatkan dia lebih berminat untuk mengurus pasukan di Liga Perdana Inggeris berbanding liga lain di Eropah.
Mourinho memenangi Piala Liga Konferens Eropah di Roma musim lalu dan kini di tangga keempat Serie A namun tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk merebut kejuaraan yang kini diterajui Napoli.
Dia juga mengintai tugasan di West Ham United yang mungkin mempunyai kekosongan lebih awal kerana David Moyes kelihatan bergelut tetapi Mourinho tidak akan meninggalkan Roma di pertengahan musim.
Mourinho yang baru menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pernah memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea yang menjadikannya antara pengurus paling prolifik di Eropah.
Selain menempa kejayaan bersama Chelsea, Mourinho turut berjaya membawa Porto, Real Madrid, Inter Milan menjuarai liga Portugal, Sepanyol dan Itali dan pernah mengurus dua lagi kelab EPL iaitu Manchester United dan Tottenham Hotspur.