PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan pasukannya kini boleh bergantung pada Gabriel Jesus selepas pemain Brazil itu menamatkan kemarau gol dengan hatrik menakjubkan menewaskan Crystal Palace dalam Piala Carabao, pada awal pagi Khamis.

Gabriel Jesus menjadi wira Arsenal apabila tiga jaringannya membantu pasukan itu bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2, sekali gus memastikan tempat mereka di separuh akhir Piala Carabao.

Kemenangan ini juga menamatkan kritikan yang melanda penyerang berusia 26 tahun itu, yang sebelum ini bergelut dengan prestasi hambar.

Arteta memuji impak besar Jesus terhadap pasukan dan percaya ini adalah titik permulaan untuk pemain itu kembali menemui sentuhan terbaiknya.

 

“Saya sangat gembira untuknya, sudah tentu ia adalah tempoh yang panjang untuknya tanpa jaringan dan hari ini dia menjaringkan tiga gol, dengan tiga jenis gol yang berbeza, serta banyak aksi lain yang dia libatkan.

“Dia kelihatan sangat tajam, ini adalah sesuatu yang hebat untuknya dan juga pasukan bahawa kami boleh bergantung pada pemain berkualiti seperti dia. Gabby pada tahap ini adalah aset besar untuk kami,” kata Arteta dalam sidang media selepas perlawanan. 

Jesus sebelum ini melalui tempoh yang sukar dengan kemarau jaringan selama sembilan bulan, sebelum berjaya menemui gol pertamanya ketika menentang Preston dalam saingan yang sama pada November lalu.

Bagaimanapun, dia gagal mengekalkan momentum tersebut dalam saingan Liga Perdana Inggeris, di mana dia masih belum mencatat sebarang gol musim ini.

Namun, hatrik menentang Palace ini, yang memberikan dia penilaian perlawanan 10/10, menjadi harapan baru bagi penyokong Arsenal.

Walaupun 11 daripada 13 penampilan liganya musim ini datang dari bangku simpanan, Arteta yakin jadual perlawanan Arsenal yang lebih mudah seperti bertemu Palace sekali lagi, Ipswich Town, dan Brentford boleh menjadi peluang terbaik buat Gabriel Jesus.

Bagi penyokong Arsenal, kebangkitan Gabriel Jesus ini pastinya sesuatu yang dinantikan untuk menghidupkan kembali cabaran pasukan dalam semua pertandingan musim ini.