KETUA pasukan Manchester United, Bruno Fernandes, terus mencipta nama sebagai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah kelab selepas berjaya memintas rekod David Beckham dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman Red Devils.
Pemain tengah berusia 30 tahun itu, yang telah menjadi antara watak penting sejak menyertai United pada Januari 2020, meledak gol ke-86 untuk kelab ketika membantu pasukannya menewaskan Arsenal dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA yang penuh dramatik di Stadium Emirates pada Isnin.
Jaringan Fernandes hadir selepas gerakan lincah Alejandro Garnacho yang memperdayakan Myles Lewis Skelly sebelum memberi hantaran ke kawasan Fernandes yang tidak dikawal.

Gerakan lincah Alejandro Garnacho berjaya memberi hantaran cantik ke kawasan Fernandes yang tidak dikawal
Pemain Portugal itu tidak mensia-siakan peluang dengan melancarkan rembatan kencang yang tepat ke sudut gol, melepasi kawalan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Dengan jaringan itu, Fernandes kini mengatasi rekod 85 gol milik Beckham, legenda kelab yang dikenang ramai peminat Manchester United.
Kini, Fernandes berada di kedudukan yang lebih tinggi dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab yang pernah menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak 20 kali.

Altay Bayındır memberikan aksi yang cemerlang setelah menyelamatkan dua sepakan penalti Arsenal
Sejak menyarung jersi United, Fernandes telah mencatatkan 86 gol dan 77 bantuan jaringan dalam 261 penampilannya.
Sebagai tambahan, dalam skuad United semasa ketika ini hanya Marcus Rashford mempunyai jumlah jaringan yang lebih tinggi, dengan 126 gol.
Fernandes turut memainkan peranan penting dalam kemenangan pasukan ketika penentuan sepakan penalti menentang Arsenal.
Justeru, Fernandes turut memimpin dengan penuh keyakinan apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti pertama United.
Perlawanan itu akhirnya dimenangi Red Devils dengan keputusan 5-3 dalam penentuan penalti, sekali gus memastikan tempat mereka di pusingan keempat Piala FA.