KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui perlawanan persahabatan menentang Cape Verde bakal menjadi medan ujian sebenar buat skuad kebangsaan menjelang pertemuan penting menentang Vietnam dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Malaysia dijadual berdepan pasukan Afrika itu sebanyak dua kali aksi pertama secara terbuka pada 29 Mei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan aksi kedua secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun. Pertemuan ini dianggap sebagai pentas terbaik untuk mengukur tahap pasukan ketika memasuki fasa penting latihan pusat.
“Cape Verde adalah lawan yang sangat kuat. Kebanyakan pemain mereka beraksi di Portugal dan mempunyai kualiti Eropah. Ini satu cabaran besar, apatah lagi ia berlaku di awal fasa latihan. Tapi kami tak sabar menanti aksi ini,” kata Cklamovski dalam sidang media di Wisma FAM.
Menurutnya, perlawanan ini bukan sahaja memberi ruang untuk menilai kekuatan sebenar Harimau Malaya, malah akan mendedahkan kelemahan yang boleh diperbaiki sebelum berdepan cabaran sebenar menentang Vietnam pada 10 Jun di SNBJ nanti.
“Ada beberapa persamaan antara Cape Verde dan Vietnam dari segi gaya permainan – cara mereka bermain secara langsung dan pantas dalam transisi. Jadi ini medan terbaik untuk kami belajar, bina keyakinan dan tambah agresif dari segi prestasi berpasukan,” ujarnya.
Cape Verde kini menduduki ranking ke-72 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-131, namun itu tidak melemahkan semangat Cklamovski dan anak buahnya yang mahu menggunakan peluang ini untuk ‘naik kelas’ dan menunjukkan bahawa Harimau Malaya bersedia bersaing di pentas lebih tinggi.
Dengan pendekatan taktikal yang lebih tajam serta kemasukan beberapa pemain baharu, Harimau Malaya bersedia untuk tampil garang dalam siri persahabatan ini, sebagai amaran awal buat Vietnam.