SKUAD Sepak takraw Malaysia akhirnya mengaum garang di pentas Asia apabila regu utama negara berjaya menamatkan penguasaan Thailand dan muncul juara Piala Asia Sepak Takraw 2025, dalam pertembungan yang penuh maruah dan dendam di gelanggang.

Trio negara yang terdiri daripada Farhan Adam, Azlan Alias dan Syahir Rosdi membuktikan status mereka sebagai gandingan elit apabila bukan sahaja menundukkan Thailand, malah melakukannya dengan penuh bergaya apabila menang straight set 15-12, 15-7 sekali gus mengesahkan kejuaraan kedua buat Malaysia selepas turut menjulang gelaran kategori kuadran.

Turun dengan semangat membara untuk menebus kekalahan dalam acara beregu tempoh hari, apabila skuad double negara tewas kepada Thailand di final.

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun menampilkan karakter luar biasa. Aksi set pertama menyaksikan kejar-mengejar mata yang sengit sehingga terikat 6-6, namun kematangan regu negara menyaksikan mereka mula mendahului dan menutup set pertama dengan kemenangan 15-12.

Sorakan padu penyokong Malaysia memberi suntikan semangat luar biasa di set kedua, di mana regu negara mendahului selesa seawal 4-0 dan 7-2, sekaligus menekan mental pemain Thailand yang terkenal dengan servis tajam dan permainan pantas mereka.

Namun regu Malaysia terlalu ampuh untuk digugat. Kombinasi libasan Syahir, ketangkasan Azlan dan ketenangan Farhan menjadikan rentak permainan lawan kucar-kacir hingga tamat aksi.

Dengan kemenangan ini, Malaysia bukan sahaja menjulang Piala Asia Sepak Takraw dalam kategori regu, malah menghantar mesej jelas – era dominasi Thailand sudah mula dicabar hebat oleh Malaysia yang kini tampil lebih lapar, matang dan bersedia menggenggam dunia.