PEMAIN pertahanan muda negara, Nooa Hamzah Laine tidak berpuas hati penampilan aksi debut semasa mengalahkan Turkmenistan dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Iskandar Puteri pada Khamis.

Apa tidaknya, Laine, 21, yang berasal dari Malaysia-Finland, bermain di bahagian tengah untuk kelab profesional Finland SJK Seinajoki itu mendapat peluang mencetak gol tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Tentu sahaja anda tak pernah puas dan saya miliki beberapa peluang untuk menghasilkan gol dan mungkin ada beberapa kali.

“Jurulatih menempatkan saya dalam posisi itu dan saya perlu menggunakan kesempatan dan menunjukkan apa yang anda lakukan. Jadi, itulah yang saya cuba lakukan di sini,” katanya.

Dirinya juga tidak mahu mengambil tekanan daripada pujian penggemar terutama peminat tempatan dan hanya ingin melakukan yang terbaik sepanjang bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon.

“Ini adalah perlawanan pertama saya dengan orang di sini dan saya yakin ketika saya memainkan lebih banyak permainan dan berlatih dengan mereka chemistry menjadi lebih baik.

“Saya tidak tahu lagi bagaimana mereka bermain dan mereka juga semakin mengenali saya. Jadi saya yakin itu menjadi lebih mudah bagi saya bermain dengan mereka,” katanya.