PERSATUAN Olahraga Selangor (POS), terus dilanda kemelut kepimpinan apabila enam persatuan daerah tampil menyatakan hilang kepercayaan terhadap Presiden POS, Nurhayati Karim, yang turut memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Olahraga Malaysia (MA)

Kemelut dalaman itu turut membuka laluan kepada bekas Presiden MA, Datuk S M Muthu untuk kembali merebut jawatan tertinggi badan induk olahraga negara selepas menerima desakan daripada beberapa ahli gabungan POS yang mahukan perubahan.

“Saya sedia (bertanding)… tapi buat masa ini, fokus saya nak selesaikan dahulu isu dalam POS. Kalau selesai dan semuanya mengizinkan, saya tak menolak kemungkinan untuk bertanding,” kata Muthu, yang juga Presiden Persatuan Olahraga Petaling Jaya.

Beliau bersama lima lagi pemimpin persatuan olahraga daerah – Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Selangor, menegaskan bahawa kepimpinan Nurhayati tidak lagi mendapat mandat selepas beberapa isu, termasuk ketelusan laporan kewangan, dibangkitkan.

Presiden Persatuan Olahraga Hulu Selangor, Mohd Fauzi Manivanan Abdullah mendakwa, cadangan mencalonkan semula Muthu sebagai Presiden MA ditolak oleh Nurhayati tanpa penjelasan kukuh dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) POS yang lalu.

“Kami sudah sepakat. Tapi penyata kewangan pun banyak keraguan. Kami mahu AGM khas diadakan sebelum 15 Jun, sebelum AGM MA berlangsung,” katanya, yang mengesahkan enam daerah itu telah menghantar undi tidak percaya secara rasmi.

Krisis ini dijangka memberi kesan besar terhadap hala tuju olahraga Selangor, yang sebelum ini menjadi antara penyumbang utama atlet ke peringkat kebangsaan. Semua pihak kini menanti reaksi balas daripada kepimpinan tertinggi POS bagi meredakan ketegangan.