KEMPEN skuad badminton lelaki negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 berakhir lebih awal selepas Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir di Qingdao, China, hari ini.

Harapan mempertahankan pingat perak lebur apabila Malaysia tewas 0-3 kepada Jepun yang tampil lebih kemas dan berdisiplin.

Kekalahan itu turut menutup laluan automatik ke Piala Thomas selepas hanya empat pasukan terbaik layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan.

Arif JunaIdi-Yap Roy King tidak mampu menandingi Takuro Hoki-Yugo Kobayashi. |FOTO BAM

Bagaimanapun, peluang skuad negara masih bernyawa menerusi slot pasukan terbaik bukan kelayakan sebenua.

Terdahulu, aksi pembukaan menyaksikan Justin Hoh memberi tentangan sengit sebelum tewas kepada Yushi Tanaka 17-21, 22-20, 11-21 untuk membolehkan Jepun mendahului 1-0.

Beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King gagal mengekang gandingan berpengalaman Takuro Hoki-Yugo Kobayashi sebelum kecundang 14-21, 12-21.

Aidil Sholeh berjaya mengheret permainan ke set penentuan.| FOTO BAM

Kekalahan Malaysia disahkan apabila Aidil Sholeh gagal mengekalkan momentum selepas menang set pertama sebelum tewas kepada Koki Watanabe 22-20, 11-21, 3-21.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad lelaki negara di BATC adalah muncul juara edisi 2022 selain perak pada 2020 dan 2024 serta gangsa pada 2018.