KEPUTUSAN untuk tidak membariskan pemain utama negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) kali ini, disifatkan menepati matlamat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu pemain lebih muda mendapat pengalaman secukupnya.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, keputusan itu juga dibuat selepas meneliti isu kecederaan serta sumbangan pemain senior yang berulang kali membantu negara.

“Kalau bukan sekarang bila lagi?,” kata Rexy menimbulkan persoalan, selepas mengumumkan barisan pemain yang akan menggalas cabaran di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Februari depan.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, BAM mengambil langkah berani mengetepikan pemain senior iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi pemain paling senior dalam skuad negara ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025.

Pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia yang masih dalam proses pemulihan kecederaan ligamen buku lali dan beregu lelaki nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga tidak berada dalam senarai kali ini.

Rexy, berkata BAMTC akan menjadi medan untuk pemain muda menyerlahkan potensi sebenar mereka sekali gus memberikan pilihan yang lebih banyak kepada barisan kejurulatihan untuk menyenaraikan pasukan terkuat menghadapi Piala Sudirman di Xiamen, China, Mei depan.

“Kenapa kita perlu menguji pemain senior seperti Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah, Sze Fei-Izzuddin ataupun Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lagi? Mereka sudah banyak kali beraksi dalam kejohanan-kejohanan utama.

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee perlu menggunakan peluang beraksi di BAMTC2025, ketika emnggalas tanggungjawab sebagai beregu wanita utama negara.

“Jadi, saya fikir ini adalah masanya untuk kita menguji pemain muda. Siapa tahu kalau dapat tengok Wan Arif Junaidi-Yap Roy King bermain baik, nanti kita ada lebih banyak pilihan untuk ke Piala Sudirman.

“Kita tidak boleh terus mengharapkan orang sama dalam setiap kejohanan. Sebagai contoh, China dan Jepun juga mungkin tidak akan menurunkan pasukan terkuat kerana mereka mahu tengok (prestasi) pemain-pemain lain,” katanya, ketika ditemui ABM.

Terdahulu, BAM mengumumkan senarai nama pemain yang akan menggalas cabaran negara pada saingan BAMTC dengan menamakan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai sebagai pemain paling berpengalaman.

Leong Jun Hao dan Justin Hoh, sentiasa mempamerkan semangat juang tinggi dalam acara berpasukan.

Dalam senarai itu, pemain diberi tanggungjawab dalam perseorangan lelaki, digalas Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjadi taruhan dalam beregu lelaki.

Dalam perseorangan wanita, BAM meletakkan sandaran kepada K Letshanaa dan Wong Ling Ching manakala tugas dalam beregu wanita digalas Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.

Mengiringi Soon Huat-Shevon dalam acara beregu campuran nanti adalah gandingan yang sedang meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

“Piala Sudirman adalah sasaran utama dan kita harus tahu apa yang perlu jadi keutamaan. Saya tidak mahu kita sasarkan Piala Sudirman tetapi pemain-pemain masih menyertai kejohanan tanpa henti,” kata Rexy.