SUATU ketika dahulu, Malaysia pernah menjadi antara perintis futsal di Asia apabila bermain di Piala Dunia Futsal 1996, namun hari ini realitinya amat menyedihkan apabila skuad negara terus tenggelam, sementara Indonesia yang bermula lebih lewat kini sudah melangkah jauh meninggalkan kita di pentas benua.

Persoalannya, bagaimana pasukan yang wujud lebih awal boleh tercicir begitu jauh berbanding jiran serumpun yang hanya memulakan pembangunan futsal secara serius sekitar tahun 2002, tetapi kini sudah mencipta sejarah mara ke final Piala Asia Futsal selepas menewaskan Jepun.

Indonesia hari ini bukan sekadar pasukan ‘pelengkap jadual’, sebaliknya muncul sebagai kuasa baharu Asia Tenggara dengan pencapaian membanggakan, termasuk dua kejuaraan Piala AFF pada 2010 dan 2024, emas Sukan SEA 2025 serta peningkatan ketara dari segi ranking dunia dan kualiti permainan.

Sebaliknya, skuad futsal negara masih bergelut dengan isu lama yang tidak pernah berakhir. Sejak Piala AFF diperkenalkan pada 2001, Malaysia belum pernah merasai nikmat kejuaraan, dengan pencapaian terbaik sekadar naib juara dan tempat ketiga, satu statistik yang cukup membimbangkan jika dibandingkan dengan kemajuan pesat Indonesia.

Ketika Indonesia rancak membina sistem pembangunan akar umbi, liga domestik yang kompetitif, program bakat muda serta pelaburan serius dalam kejurulatihan moden, futsal negara pula dilihat seperti berjalan di tempat yang sama, tanpa hala tuju jelas dan pelan jangka panjang yang konsisten.

Di sinilah persoalan besar mula timbul, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab atas kegagalan ini?

Adakah ia berpunca daripada pengurusan tertinggi yang gagal merangka strategi berkesan? Adakah FAM terlalu leka dengan bola sepak sehingga futsal dianaktirikan?

Kejayaan Indonesia sepatutnya menjadi cermin buat Malaysia. Mereka bermula kemudian, tetapi bergerak lebih pantas kerana adanya visi, keberanian membuat perubahan dan kesungguhan membina struktur yang kukuh dari bawah.

Sebaliknya, FAM terus dilihat seperti ‘tidur lena’ ketika pesaing serantau melangkah ke hadapan, mencipta sejarah demi sejarah di pentas Asia.

Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil futsal negara akan terus tenggelam dalam bayang-bayang kejayaan jiran.

Sampai bila skuad futsal negara mahu berdiam diri? Sampai bila FAM mahu berpeluk tubuh? Dan yang paling penting, siapa sebenarnya yang patut tampil bertanggungjawab untuk mengangkat semula maruah futsal Malaysia sebelum segalanya terlambat?