Perkembangan terkini pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menunjukkan petanda positif apabila tahap kecergasannya dilaporkan berada dalam keadaan baik menjelang saingan Piala Thomas hujung bulan ini.
Ketua jurulatih Team LZJ, Liew Daren mengesahkan sesi latihan kedua yang dijalani pemain berusia 28 tahun itu berjalan lancar dengan peningkatan ketara dapat dilihat terutama dari segi pergerakan dan intensiti.
Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah untuk meningkatkan tahap intensiti latihan bagi memastikan Zii Jia benar-benar bersedia menghadapi cabaran di pentas Piala Thomas.
“Setakat ini semuanya baik dan semakin meningkat. Bagi saya keadaannya okay dan tiada masalah, sekarang fokus utama adalah meningkatkan intensiti latihan untuk persiapan ke Piala Thomas kerana itu yang paling penting,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia.
Sebelum ini, Zii Jia mencetuskan kebimbangan apabila mengalami kecederaan buku lali yang menyaksikannya terlepas beberapa sesi latihan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap kesediaannya menyertai kem negara.
Namun begitu, Daren menjelaskan keadaan pemain itu kini terkawal dengan keutamaan diberikan kepada memastikan program latihan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan kecederaan.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada Institut Sukan Negara (ISN) serta legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei yang menawarkan bantuan dalam memantau tahap kecergasan pemain itu.
Selain itu, peluang menjalani latihan bersama di Akademi Badminton Malaysia turut dilihat memberi manfaat besar kepada Zii Jia apabila dapat berlatih dengan pelbagai rakan sparring yang memiliki gaya permainan berbeza.
Situasi itu dijangka membantu pemain berkenaan kembali mencapai tahap prestasi terbaik menjelang kejohanan berprestij tersebut.
Sumber Gambar: BAM