SKUAD karate negara menutup tirai Kejohanan Karate Asia Tenggara Ke-12 (SEAKF 2025) dengan membawa pulang keseluruhan 26 pingat termasuk enam emas untuk menduduki tempat keempat keseluruhan kejohanan yang berakhir semalam.
Daripada jumlah itu, empat emas diraih menerusi atlet senior dalam acara kumite – termasuk Shamalarani (bawah 50kg), Thevendran Kaliana Sundram (bawah 55kg), Sureeya Shankar (bawah 60kg) serta pasukan kumite lelaki. Dua lagi emas diperoleh menerusi atlet pelapis.

Skuad karate negara cemerlang di Brunei. |FB Majlis Sukan Negara
Malaysia turut meraih lima perak dan 15 gangsa dalam kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Hassanal Bolkiah itu, sekali gus menunjukkan potensi besar skuad negara di pentas serantau menjelang temasya lebih besar.
Pemangku ketua jurulatih, R. Shamendran, menyifatkan prestasi di Brunei sebagai pencapaian memberangsangkan walaupun tiada sebarang sasaran ditetapkan sebelum kejohanan berlangsung.

Persiapan terbaik skuad karate sebelum ke Sukan SEA 2025|FB Majlis Sukan Negara

C Shahmalarani terus cemerlang di persada antarabangsa|FB Majlis Sukan Negara
“Kita tak mahu letak tekanan, tapi hasilnya tetap positif. Saya puas hati dengan keseluruhan persembahan, cuma ada beberapa aspek teknikal dan taktikal yang perlu diperbaiki menjelang kejohanan seterusnya,” katanya.
Antara penyumbang gangsa termasuk Lovelle Anne (kata wanita), Mcroyce Donavan Dagol (kumite lelaki bawah 75kg) dan pasukan kata lelaki – sekali gus membuktikan kualiti barisan muda negara yang semakin menyerlah.
Dengan baki beberapa bulan sebelum kejuaraan Asia dan Sukan SEA 2025, kem Brunei ini dijadikan medan terbaik untuk menguji kekuatan sebenar pasukan sebelum misi lebih besar digerakkan.