SKUAD hoki lelaki negara menepati ramalan apabila menundukkan Afrika Selatan 4-2 dalam aksi klasifikasi tempat ke-5 hingga ke-8 di Piala Negara-Negara FIH 2025, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Sarjit Singh akan berdepan Wales dalam perlawanan penentuan tempat kelima yang dijadual berlangsung esok.
Malaysia bermula garang apabila Syed Syafiq Syed Cholan meledak gol pembukaan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15, sebelum Afrika Selatan menyamakan kedudukan menerusi jaringan Angelo Walstroom, seminit sebelum tamat separuh masa pertama.
Muhammad Syafiq Hassan kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-37 hasil jaringan padang, disusuli ledakan Akhimullah Anuar Esook tiga minit kemudian.
Afrika Selatan terus memberi tentangan apabila Carlon Mentoor menyumbat gol kedua menerusi pukulan sudut penalti minit ke-51, namun jaringan Mohd Fitri Saari pada minit ke-53 memastikan kemenangan mutlak buat Speedy Tigers.
Aksi lebih kemas dan disiplin ditampilkan Malaysia berbanding perlawanan menentang Jepun dan New Zealand sebelum ini, sekali gus membakar semangat untuk menamatkan kempen kali ini di tempat kelima.