MAJLIS Sukan Negara (MSN) perlu membuat pertimbangan sewajarnya terhadap pencapaian skuad boling negara yang meraih dua pingat emas pada Kejohanan Boling Piala Dunia IBF di Hong Kong, awal bulan ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, meskipun kejohanan terbabit tidak dicadangkan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sebagai dua kejohanan tertinggi badan induk sukan itu, untuk diberi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), Majlis Sukan Negara (MSN) telah diarahkan untuk pertimbangkannya untuk diberi insentif khas.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan bahawa MSN sedang mempertimbang untuk pemberian insentif khas kepada skuad boling yang meraih dua emas dan dua perak di Kejohanan Piala Dunia Boling IBF.
“Selalunya setiap persatuan sukan akan menghantar senarai kejohanan kepada MSN bagi pemberian insentif… namun apabila ada kejohanan tambahan yang tidak tersenarai dalam senarai itu, pertimbangan perlu dibuat oleh MSN sekali lagi sama ada, bajet mencukupi atau tidak.
“Untuk Natasha (Roslan) dan boling (pasukan boling lelaki), MSN sedang pertimbangkan sekarang, begitu juga sepak takraw,” kata Hannah ketika ditemui selepas melancarkan Liga Super Bola Jaring (NSL) di Petaling Jaya.
Pada Kejohanan Piala Dunia Boling IBF, Natasha Roslan meraih emas dalam acara single wanita manakala satu lagi emas menerusi berpasukan lelaki yang dibarisi Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.

Natasha meraih pingat emas acara single wanita Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025.

Pasukan lelaki negara turut cemerlang pada Kejohanan Boling Piala Dunia IBF 2025.
Pada kejohanan berlangsung dari 5 hingga 14 Januari lalu, dua pingat perak turut disumbangkan Rafiq dalam acara single lelaki dan berpasukan wanita dibarisi Natasha, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane dan Gillian Lim.
Sebelum ini Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok menyatakan bahawa atlet boling negara itu, tidak akan menerima Shakam kerana persatuan itu menamakan dua kejohanan iaitu Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia sebagai saranan untuk insentif terbabit.
Sebelum ini, skuad sepak takraw meraih dua pingat emas pada Piala Dunia Sepaktakraw Istaf, yang tidak disenaraikan sebagai kejohanan yang dicadangkan untuk menerima insentif Shakam.
Namun, regu dan doubles emas negara tetap menerima insentif khas selepas MSN membuat pertimbangan semula terhadap kejayaan yang dicapai.