MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini memberi tumpuan penuh terhadap pemulihan atlet berbasikal negara, Mohd Elmi Jumari, yang terlibat dalam kemalangan sewaktu menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada Ahad.
Kemalangan tersebut mengakibatkan kecederaan patah jari serta kerosakan kepada basikal bernilai RM36,000.
Menurut Hannah, pihak KBS telah menerima permintaan bantuan daripada rakan-rakan Mohd Elmi, namun keputusan berhubung bantuan untuk basikal akan diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedang meneliti perkara itu.

Hannah memaklumkan perkara tersebut selepas Majlis penyerahan sumbangan Milo kepada atlet Olimpik dan Paralimpik pada Selasa.
“Kita telah menerima permintaan tersebut daripada rakan-rakan beliau, tetapi Majlis Sukan Negara sedang melihat isu tersebut. Namun, apa yang paling penting sekarang adalah untuk fokus kepada pemulihannya di hospital,” kata Hannah kepada media selepas majlis bersama Milo.
Tambah Hannah, keutamaan kini adalah memastikan Mohd Elmi dapat kembali menjalani latihan secepat mungkin.
“Yang paling penting adalah beliau boleh berlatih semula dengan cepat, jadi saya mahu fokus kepada pemulihan dahulu. Isu basikal itu akan dilihat oleh Majlis Sukan Negara,” katanya.
Pelumba berpengalaman skuad berbasikal kebangsaan itu kini dipindahkan ke hospital swasta dari Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan penilaian dan rawatan lanjut.