KALI pertama beraksi pada kejohanan berpasukan campuran di peringkat senior, lebih banyak menghadirkan rasa teruja berbanding tekanan kepada perseorangan lelaki negara, Justin Hoh.

Menjadi pemain kedua turun ke gelanggang menentang Australia, dalam aksi kedua kempen Piala Sudirman di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China, tidak menghadirkan rasa gentar kepada pemain berusia 21 tahun itu.

“Saya rasa teruja dapat beraksi pada Piala Sudirman pertama saya, lebih gembira kerana membantu pasukan menang,” kata Justin kepada Persekutan Badminton Dunia (BWF), selepas menghadiahkan mata kedua kepada skuad negara.

Pada perlawanan kedua kumpulan C antara Malaysia dan Australia, Justin menang 21-9, 21-15 ke atas Shrey Dhand, menghadiahkan mata kedua kepada negara selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meraih mata pertama berikutan kemenangan ke atas Ricky Tang-Gronya Somervile, 21-8. 21-12.

Pada perlawanan itu, Malaysia menang 4-1 yang turut menyaksikan K Letshanaa mengatasi Bernie Teoh 21-6, 21-8 dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik membenam cabaran Jack Yu-Frederick Zhao 21-8, 21-9.

Bagafimanapun Go Pei Kee yang berpasangan dengan Carmen Ting tewas skepada Gronya Somervile-Angela Yu, 15-21, 18-21.

Bagi Letshanaa pula, berdisiplin dan mengikut arahan jurulatih membolehkannya bermain dengan baik ketika menewaskan Bernie.

“Saya tak rasa kekurangan dalam perlawanan hari ini, saya berjaya mengikut arahan apa perlu dilakukan dan lebih penting saya turun dengan keyakinan,” kata Letshanaa.

Esok, skuad negara akan berehat sehari sebelum turun menentang Jepun pada perlawanan terkahir kumpulan C, yang bakal menentukan pasukan mana akan menjuarai kumpulan.