KETUA  jurulatih Selangor FC, Kim Pan Gon meluahkan rasa gembira melihat transformasi dipamerkan anak buahnya ketika membenam Negeri Sembilan FC 5-1 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, sekali gus mara dengan agregat 6-1.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui nada perasaannya kali ini berbeza berbanding selepas perlawanan pertama, terutama apabila pasukan mempamerkan permainan lebih meyakinkan di hadapan penyokong sendiri.

Menurutnya, pemain memulakan aksi dengan cukup baik, menghasilkan banyak peluang selain berjaya menukar dominasi kepada jaringan yang menaikkan emosi pasukan.

“Saya gembira, sangat gembira. Pemain memberikan permulaan yang cantik, permainan yang bagus, cipta banyak peluang dan menjaringkan gol.

“Stadium penuh dan kami memberikan penyokong satu perlawanan yang baik, itu yang paling menggembirakan malam ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Mengulas perbezaan ketara antara aksi pertama dan kedua, Kim menjelaskan faktor beraksi di laman sendiri memainkan peranan penting selain usaha membentuk identiti kuat setiap kali bermain di hadapan penyokong.

Katanya, kesungguhan pemain untuk memburu tempat ke separuh akhir jelas dapat dilihat apabila mereka mempamerkan keinginan tinggi sejak minit pertama.

“Di laman sendiri kami mahu jadi kuat. Pemain begitu bersemangat untuk capai sasaran ke separuh akhir dan keinginan itu perkara paling penting.

“Saya dapat lihat hasrat mereka sangat kuat dan mereka tunjukkan semangat itu malam ini,” katanya.

Dalam masa sama, Kim mendedahkan beliau sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak terperangkap dengan keyakinan berlebihan, sebaliknya perlu mengawal psikologi serta kekuatan mental sepanjang perlawanan.

Beliau percaya pendekatan menganggap setiap aksi sebagai perlawanan istimewa membantu pasukan mempamerkan disiplin lebih baik berbanding sebelumnya.

“Saya bangga dengan semua pemain, terutama dari segi kekuatan mental dan semangat berpasukan yang ditunjukkan,” katanya.