SORAKAN lebih 30 ribu penyokong tuan rumah yang hadir menenggelamkan semangat waja yang dibawa pasukan Selangor FC apabila menyaksikan Johor Darul Takzim FC melebarkan rekod kemenangan apabila berpesta dengan lima gol berbalas satu.

Dua jaringan Bergson Da Silva masing-masing pada minit ke-3 dan 54 mengukir senyuman buat penyokong tuan rumah yang hadir di Stadium Sultan Ibrahim.

Fernando Forestieri dan Leandro Velazquez masing-masing menambah derita Gergasi Merah dengan jaringan pada minit ke-24 dan ke-35 perlawanan.

Sementara itu, minit ke-4 perlawanan menyaksikan berlaku sedikit aksi panas di bangku simpanan apabila Mora dan Feichtenbeiner bertikam lidah antara satu sama lain dengan menunjukkan ketidakpuasan hati masing-masing.

Manakala, peluang Selangor FC hadir menerusi dua tonggak utama pasukan iaitu Mukhairi Ajmal dan Brendan Gan masing-masing pada minit ke-45 dan 76 namun sedikit tersasar melewati palang gol.

Feichtenbeiner yang dilihat gagal mengawal emosi di luar padang dengan menunjukkan tidak berpuas hati kepada pengadil perlawanan mengakibatkan dia dilayangkan kad kuning pada minit ke-77.

Enggan mengalah akhirnya skuad Merah Kuning berjaya memperoleh gol saguhati menerusi Nor Hakim Hassan pada minit ke-83.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Mohamadou Sumareh membalas dendam dibolosi pelawat dengan gol kelima tuan rumah.

Bagaimanapun, gol tersebut sudah agak lewat buat Selangor FC apabila JDT dilihat mengawal keseluruhan permainan dengan kemenangan bergaya 5-1 di stadium keramat mereka.