PEMAIN Kuala Lumpur (KL) City FC, Kenny Pallraj mengetepikan faktor keletihan dalam misi memburu kemenangan dalam pertembungan seteru setempat Lembah Klang dengan Selangor FC esok.

Menurut pemain berusia 31 tahun itu, meskipun pasukannya berdepan jadual perlawanan yang agak padat, namun ianya tidak menjejaskan semangat pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik dalam aksi Liga Super apabila bertandang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Skuad bimbingan Miroslav Kuljanac itu baru sahaja mengharungi Perlawanan Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Singapura yang menyaksikan mereka tewas 2-0 kepada kelab Lion City Sailors pada Khamis lepas.

Kuala Lumpur City FC bakal berentap dengan Selangor FC untuk perlawanan derby Lembah Klang di Stadium MBPJ.

“Bagi saya, jadual kami memang padat dan risau dengan keadaan pemain kerana baru sahaja balik daripada perlawanan ACC.

“Namun kita sudah bersedia segalanya sebelum perlawanan itu kerana kita sedar hanya tinggal sehari untuk berlatih sebelum bertemu Selangor FC.

“Kita akan bagi yang terbaik esok kerana saya juga menjangkakan satu permainan terbaik daripada pasukan.

“Bukan hanya dengan Selangor kita mahu menang, namun semua perlawanan yang kita turun, kita inginkan kemenangan.

“Mahu atau tidak, kita kena ketepikan kepenatan untuk tempuh perlawanan esok. Mana-mana pemain akan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan akan datang dan tidak memikirkan soal penat lelah daripada perlawanan sebelum ini, demi mendapatkan tiga mata penuh,” ujar Kenny.

Untuk rekod, pertemuan terakhir antara KL City FC dan Selangor FC adalah pada 14 Julai lalu dalam aksi Liga Super sekali gus menyaksikan The City Boys berjaya menundukkan skuad Gergasi Merah dengan keputusan menang tipis 1-0.

KL City FC kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan 17 mata berjaya diraih daripada 15 perlawanan keseluruhan, manakala Selangor FC pula gah di kedudukan kedua carta, dengan catatan 35 mata daripada kesemua 16 perlawanan.