PENGENDALI baharu Selangor FC, Kim Pan-gon, menegaskan keyakinannya terhadap visi dan komitmen kelab menjadi faktor utama beliau menerima tawaran untuk mengemudi Gergasi Merah Kuning menjelang musim baharu.

Menurut jurulatih berusia 57 tahun itu, Selangor FC menunjukkan kefahaman jelas terhadap falsafah dan kepimpinan yang akan dibawanya, selain sasaran kelab yang selari dengan cita-cita peribadinya sebagai jurulatih.

“Keputusan saya untuk menyertai Selangor FC dibuat berdasarkan keyakinan saya terhadap visi dan komitmen kelab ini. Kelab telah menunjukkan dedikasi yang sangat tinggi serta pemahaman mendalam terhadap falsafah dan kepimpinan yang akan saya bawa. Selain itu, sasaran dan objektif kelab juga selari dengan aspirasi peribadi saya sebagai seorang jurulatih,” katanya.

Kim Pan-gon turut menekankan pendekatan kejurulatihannya yang berfokuskan pemain, dengan penekanan kepada latihan berkualiti, perancangan taktikal rapi dan analisis terperinci terhadap lawan bagi memastikan pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Falsafah kejurulatihan saya sentiasa berteraskan pemain. Saya menekankan latihan berkualiti tinggi, perancangan taktikal yang jelas serta analisis terperinci terhadap pihak lawan bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan membentuk skuad seimbang yang menggabungkan pemain berpengalaman dan pemain muda, selain menekankan aspek disiplin, profesionalisme, fokus dan semangat kerja berpasukan sebagai asas kejayaan.

“Struktur skuad yang seimbang antara pemain berpengalaman dan pemain muda, selain disiplin, profesionalisme, fokus dan semangat berpasukan, menjadi asas kepada setiap pemain untuk melaksanakan peranan mereka dengan optimum,” katanya.

Selain aspek teknikal, Kim Pan-gon juga memberi perhatian kepada elemen motivasi dan kebersamaan pasukan di luar padang.

“Di luar padang, saya akan terus memberi dorongan dan motivasi agar pemain dapat bersaing sebagai satu pasukan yang bersatu,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan padu penyokong Selangor FC yang disifatkan sebagai antara faktor penting yang mendorong keputusannya menyertai kelab itu.

“Saya amat menghargai rasa bangga dan sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh penyokong Selangor FC, khususnya di Stadium MBPJ sebelum ini. Pasukan akan berusaha mempamerkan persembahan berintensiti tinggi dan agresif demi meraih sebanyak mungkin kemenangan untuk para penyokong, sekali gus mengembalikan semula rasa bangga mereka terhadap kelab,” katanya.

Kehadiran Kim Pan-gon diharap mampu membawa nafas baharu kepada Selangor FC dalam misi kembali mencabar di peringkat domestik dan Asia, seiring harapan tinggi penyokong Gergasi Merah Kuning.