TIDAK cergas sepenuhnya sehingga menjejaskan pergerakan dalam gelanggang, menjadi halangan kepada hajat besar Shevon Lai untuk beraksi di pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025, bersama suami, Goh Soon Huat.

Mengakui sedih dengan keputusan itu, terutamanya ketika mereka sudah memberikan 200 peratus kesungguhan, Shevon mengambil sisi positif, bahawa mereka berjaya mengekalkan prestasi sejak tewas di pusingan sama pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2024, Disember lalu.

“Dalam hati kami 200 peratus mahu ke final kerana inilah peluang yang baik dan sukar diperoleh.

“Apakan daya, kami sudah berikan yang terbaik dan sepanjang minggu ini, kami melaluinya dengan lancar.

“Dari segi prestasi dalam gelanggang…. kemahiran individu sudah capai tahap terbaik kami,” kata Shevon, selepas tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-17, 12-21, 16-21 dalam masa 63 minit.

Menurut Soon Huat, dia dan Shevon mengikut rentak permainan Dechapol-Supissara yang pantas dan memenangi set pertama, namun tidak mampu lagi meneruskan kekuatan mental dengan permainan pantas dan kekuatan.

“Kelebihan mereka bergantung kepada kekuatan mental kami… nak menyamai kekuatan dan kelajuan tidak mudah, saya perlu memaksa diri dengan endurance,” ujar Soon Huat.

Pada perlawanan itu, percaturan Dechapol menjadi, apabila menjadikan Shevon sebagai buruan menerusi pukulan balas pantas serta smash kencang ke arah badan.

Malah pada perlawanan itu, smash kencang Dechapol berjaya mengena badan Shevon sebanyak tiga kali.