TERENGGANU FC (TFC) sedikit tempang menjelang pertembungan getir berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia apabila kehilangan beberapa tonggak utama seperti Ismahil Akinade dan Rahadiazli Rahalim, selain Akram Mahinan yang digantung perlawanan akibat dua kad kuning.

Namun, persiapan kelab dari pantai timur itu tetap berjalan seperti biasa, dengan skuad kendalian Badrul Afzan Razali berazam memberikan saingan terbaik.

“Terengganu berdepan JDT sebanyak tiga kali dalam tempoh singkat dan kita tahu mereka pasukan berkualiti di setiap posisi.

“Bukan mudah untuk mendapatkan keputusan positif di sana, namun tiada yang mustahil dalam bola sepak. Kami akan berusaha sehabis baik untuk merapatkan jurang defisit 0-4, Insya-Allah.

“Inilah peluang terbaik buat pemain TFC untuk menampilkan prestasi terbaik mereka dalam separuh akhir kedua ini,” katanya.

Walaupun sedar cabaran besar menanti, Badrul Afzan tetap yakin anak buahnya mampu memberikan tentangan sengit kepada JDT di Iskandar Puteri.

Kali terakhir Sang Penyu melangkah ke final adalah pada tahun 2018 dan muncul juara menewaskan Perak.