BEKAS bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin mengakui perpindahannya secara pinjaman dari JDT ke KL City musim ini bukan tiket automatik untuk berada dalam kesebelasan utama pasukanWarga Kota. Pemain berusia 29 tahun itu menyedari saingan sengit bakal dihadapi dalam usaha merebut posisi utama.

Antara yang bakal memberi saingan buat Adam ialah pemain import Giancarlo Galifuoco, Fadhli Shas, Kenny Pallraj, Amer Saidin dan seorang lagi pertahanan import yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Namun begitu, Adam tetap optimis dengan peluangnya.

“Saya yakin dengan kemampuan diri sendiri. Musim lalu bersama Sri Pahang saya banyak beraksi, jadi tiada masalah untuk bersaing secara sihat bersama KL City. Saya harap jurulatih, Risto Vidakovic, dapat menilai kemampuan semua pemain dengan adil,” jelas Adam.

Bekas pemain Selangor itu turut melihat kekuatan KL City musim ini lebih menyeluruh di setiap posisi, bukan hanya di bahagian pertahanan. Katanya, suasana kompetitif dalam pasukan menjadi pemangkin untuk setiap pemain tampil lebih berdisiplin dan konsisten.

Walaupun pernah beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya, Adam menegaskankomitmennya kini hanya tertumpu kepada KL City. Dia mahu memberikan sepenuh tumpuanuntuk membawa pasukan ibu negara itu ke tahap lebih tinggi musim ini.

Buat masa ini, saya hanya fokus kepada KL City. Kalau ada rezeki, saya mahu bantu pasukan ini capai kejayaan. Ini satu cabaran baharu dalam karier saya dan saya mahu ambilpeluang ini sebaiknya,” tambahnya lagi.

Musim lalu menyaksikan Adam tampil cemerlang bersama Sri Pahang apabila membantu pasukan itu mara ke final Piala Malaysia. Mereka hanya tewas tipis 2-1 kepada JDT dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April lalu.

Dengan semangat baharu dan pengalaman luas di pentas Liga Malaysia, Adam percaya dia mampu menyumbang sesuatu yang berharga buat KL City untuk sekurang-kurangnya cuba mencabar satu kejuaraan serta memperbaiki kedudukan liga musim lalu.