LAPORAN Penilai Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mendapati sebarang masalah mengenai keputusan dan tindakan yang dibuat pengadil ketika aksi antara Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.
Ini susulan komentar yang dikeluarkan pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang dikatakan berat sebelah ketika pasukannya tewas kepada JDT dengan keputusan 1-3.
Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik ketika perlawanan Liga Super 2024-2025, Sri Pahang FC menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, FAM sentiasa mengutamakan persembahan prestasi pengadil yang cemerlang dan tidak berkompromi dalam kualiti pengadil.
“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang amat baik dalam perlawanan tersebut.
“Keputusan untuk pemberian sepakan penalti pada minit 90’+4 dan layangan tiga kad kuning dalam perlawanan tersebut adalah tepat dan dibuat berpandukan Undang-Undang Permainan FIFA dan Protokol VAR.
“Unit Pengadil FAM juga telah membuat analisa menyeluruh berkaitan dengan perlawanan tersebut dan mendapati Pengadil dan Pengadil VAR telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang,” katanya.
Pada masa yang sama, Datuk Sivasundram juga mengingatkan bahawa FAM sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan kepada mana-mana pasukan yang ingin mengetahui berhubung dengan penggunaan teknologi VAR dan Protokol di Liga Malaysia 2024-2025.
“Setakat ini sebanyak 141 perlawanan telah dilangsungkan yang menggunakan teknologi VAR . Situasi ini seharusnya telah memberi ruang yang baik bagi setiap pasukan yang terlibat dalam Liga Malaysia untuk memahami protokol VAR,” jelasnya.