PENJAGA gol Paris Saint-Germain (PSG), Gianluigi Donnarumma, mengalami kecederaan ngeri selepas ditendang di muka oleh pemain Monaco, Wilfried Singo, dalam perlawanan Liga 1 baru-baru ini.

Insiden itu berlaku sekitar minit ke-13, ketika Donnarumma keluar dari kawasan gawang untuk cuba menghalang Singo daripada melepaskan percubaan di luar kotak penalti.

Namun, usaha Donnarumma bertukar tragedi apabila Singo, pemain antarabangsa Ivory Coast, yang cuba melompat untuk mengelak pertembungan, secara tidak sengaja menendang muka penjaga gol Itali itu.

Gianluigi Donnarumma mengalami kecederaan yang teruk akibat daripada pertembungan dengan Wilfried Singo. FOTO | fabriziorom

Akibatnya, Donnarumma mengalami luka dalam pada tulang pipi kanan yang sangat menyakitkan.

Penjaga gol berusia 25 tahun itu dilihat terhuyung-hayang selepas insiden tersebut sebelum menerima rawatan perubatan di atas padang.

Bagaimanapun, kecederaan itu memaksa Donnarumma untuk dikeluarkan pada minit ke-20, dengan Matvey Safanov menggantikannya.

Insiden itu menjadi titik fokus utama perlawanan, kerana kecederaan yang dialami Donnarumma nyata mencetuskan kebimbangan di kalangan peminat kelab itu.

Meskipun kehilangan penjaga gol utama mereka, PSG bangkit dengan cemerlang untuk menewaskan Monaco 4-2, dengan Desire Doue, Achraf Hakimi, dan rakan sepasukan lain memainkan peranan penting dalam kemenangan itu.

Donnarumma kini dijangka mempunyai masa yang cukup untuk pulih sebelum aksi final Trophee des Champions pada 6 Januari 2025, di mana PSG akan sekali lagi berdepan Monaco. 

Semoga penjaga gol berbakat itu kembali pulih sepenuhnya dan meneruskan aksi gemilangnya di atas padang.